Sunday, April 26, 2015

Ucapan di Simposium Sejarah Pulau Pinang dan Surat-surat Francis Light


Ucapan YB Wong Hon Wai, ADUN Air Itam sempena majlis penutupan Simposium Sejarah Pulau Pinang dan Surat-surat Francis Light di No57, Jalan Macalister, George Town, Pulau Pinang pada 27-4-2015

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Saya mengucapkan tahniah kepada para pembentang kertas dalam Simposium Sejarah Pulau Pinang dan Surat-surat Francis Light.

Koleksi surat-surat Francis Light (1786-1794) merupakan koleksi terbesar manuskrip Melayu yang sekarang disimpan sebagai koleksi The Light Letters di School of Oriental and African Studies, University of London. Ia terdiri daripada 1200 pucuk surat yang simpan dalam 11 jilid.

Saya difahamkan koleksi tersebut merupakan surat-surat yang dikirimkan kepada Light, nota dan catatan serta salinan surat yang dikirimkan oleh Light serta lain-lain dokumen seperti bil, resit dan kontrak perniagaan.

Bagi pengkaji sastera, surat-surat tersebut mempunyai nilai yang tinggi kerana merekodkan kesusateraan pada zaman tersebut.

Bagi pengkaji sejarah pula, surat-surat tersebut mempunyai nilai sejarah yang tinggi untuk membolehkan para pengkaji sejarah memahami lebih mendalam tentang peristiwa sejarah serta tatasusunan masyarakat pada masa itu.

Surat-surat tersebut juga merekodkan butiran terperinci orang-orang yang hidup pada zaman tersebut.

Dengan koleksi melebihi 1200 pucuk surat Francis Light, kita boleh merumuskan memang beliau berniat menyimpan surat-surat tersebut. Dalam tempoh lapan tahun, sehingga kematiannya pada 1794 akibat malaria, simpan surat tersebut mencecah 1200 pucuk.

Sejarah moden Pulau Pinang bermula pada 17-7-1786 apabila Francis Light mendarat di timur laut Pulau. Beliau menamakan Pulau ini sebagai Prince of Wales Island. Beliau juga menamakan kubu pertama yang dibina dalam Pulau sebagai Fort Cornwallis, atas nama Governor-General of Bengal, Charles Cornwallis. Bandar yang dibuka dinamakan George Town atas King George III, Raja yang memerintah England dan jajahannya dari tahun 1760 hingga 1820. Terdapat 50 bandar di seluruh dunia yang dinamakan George Town dari South Africa, India hingga ke Bahamas.

Selepas itu, beliau juga membuka kawasan baru Province Wellesley. Tentunya sebelum kedatangan British ke Pulau Pinang, sudah ada penempatan orang tempatan berzaman-zaman.

Surat-surat Francis Light menunjukan bagaimana beliau berinteraksi dengan Raja-raja Melayu sepanjang Selat Melaka, pembesar-pembesar dan saudagar-saudagar.

Untuk memahami surat-surat ini, perlu menguasai Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu klasik dan moden dan juga perlu memahami tulisan Jawi. Saya rasa koleksi tersebut mempunyai nilai sejarah dan kesusateraan yang tinggi untuk kita memahami lebih mendalam lagi sejarah Pulau Pinang dan juga hubungannya dengan wilayah lain.

Saya mengucapkan tahniah kepada Lembaga Muzium Pulau Pinang dan juga para pembentang kertas kerja kerana memperkenalkan kepada kita hasil-hasil kajian mereka terhadap Koleksi Surat Francis Light.

-----------------

No comments: